Malam Puncak Gemilang 2009




Selain mengutamakan kecemerlangan akademik, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti dan persatuan sangat penting dalam membentuk sifat kepimpinan, dedikasi dan semangat kerjasama yang tinggi untuk mencapai matlamat.

Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid ketika merasmikan Malam Puncak Gemilang 2009 UUM COLGIS yang berlangsung di Dewan Bukit Kachi, kelmarin.

“Bergelar mahasiswa tidak bermakna mereka hanya mengulangkaji pelajaran semata-mata tanpa menghiraukan perkara lain. Mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar kerana bakal memimpin negara suatu masa nanti.

Ujarnya, menjadi seorang pelajar dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum pada satu-satu masa bukan perkara yang mudah sebaliknya memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi dalam usaha melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.

“Pelajar perlu bijak menguruskan masa, meningkatkan usaha dan mempunyai keinginan untuk berjaya tanpa mengira masa, tidak pernah berputus asa kerana hanya yang sanggup berjuang akan terus bertahan.

“Saya berharap dengan usaha yang jitu dan berterusan, kita dapat melahirkan pelajar yang berkualiti, berkepimpinan dan memiliki daya keterampilan sebagai modal insan yang cemerlang dan seimbang,” katanya.

Beliau menyeru pelajar agar sentiasa meningkatkan kualiti diri dan mempelajari perkara baru termasuk kemahiran untuk meningkatkan nilai tambah dalam menghadapi dunia yang sentiasa berubah.

Majlis anjuran UUM COLGIS itu diadakan untuk memberi penghargaan kepada persatuan-persatuan dan Dewan Penginapan Pelajar (DPP) atas usaha dan kesungguhan mengharumkan nama kolej dan universiti di samping mewujudkan persaingan yang sihat dalam menjalankan projek-projek yang terbaik.

Pada majlis sama turut menyaksikan penyampaian anugerah bagi kategori Khidmat Masyarakat Terbaik, Keusahawanan Terbaik, Akademik Terbaik, Kerohanian Terbaik, Program Seni dan Budaya Terbaik, Sukan dan Rekreasi Terbaik selain Anugerah Sumbangsih dan Anugerah Penolong Naib Canselor.

Penerima Anugerah Sumbangsih,Muhamad Auliat Ngah @ Ibrahim berkata, anugerah ini memberi rangsangan kepada beliau dan badan pelajar untuk terus mengadakan aktiviti dalam memperkukuh dan memperkayakan ilmu pengetahuan.

Menceritakan pengalaman menjawat jawatan Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang, beliau bertanggungjawab memantau exco sebelum menjalankan sesuatu projek dan memberi penerangan tentang bagaimana prosedur sesuatu projek bagi memastikan segala yang dirancang berjalan lancar.

Pelajar Sarjana Muda Undang-Undang ini mengakui sepanjang penglibatan dalam aktiviti luar membolehkannya menimba pengalaman berharga misalnya menjayakan Pertandingan National Client Counselling, Law Sport Day dan Majlis Makan Malam di Park Avenue, Sungai Petani.

“Sedikit sebanyak membentuk ciri kepimpinan, mengasah kemahiran komunikasi dan berpeluang berinteraksi dengan pihak atasan serta memahami perkara baru yang tidak terdapat di bilik kuliah. Pengalaman itu juga memudahkan saya menangani masalah yang timbul dengan bijaksana,” katanya.

Pesannya, pelajar perlu proaktif dan bijak memanfaatkan peluang yang ada dengan memantapkan semangat jati diri untuk menjadi lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa kini.

Majlis yang turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Madya Dr. Asmah Laili Yeon dimeriahkan dengan pengisian menarik termasuk penyampaian puisi, persembahan kebudayaan, tayangan video dan jamuan.


Special Thanks to PRO UUM

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment